Follower

Isnin, 19 Jun 2023

Anak Tak Sah Taraf Dalam Perwarisan Harta Pusaka

Salah Faham Mengenai Pusaka, Faraid, Wasiat dan Hibah
Siri 17

Penulis: ZulHamzah

"Anak tak sah taraf" adalah satu istilah baru yang lebih lunak dan ringan bagi menggantikan perkataan "anak zina" atau "anak haram" yang dilihat agak keras dan kasar.

Definisi anak tak sah taraf sebagaimana yang telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 10 Jun 2003 adalah seperti berikut :

• Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.

• Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).

Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

Berdasarkan keputusan berikut serta fatwa negeri-negeri seluruh Malaysia, berdasarkan nas al Quran dan Hadis serta pandangan jumhur ulama bahawa anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada bapa yang menghamilkan ibu anak tersebut.

Walaupun terdapat hujjah bahawa genetik seseorang anak boleh ditentukan melalui kaedah lain seperti kajian DNA, tapi majoriti ulama menetapkan bahawa kaedah pensabitan nasab melalui perkahwinan boleh membatalkan kaedah-kaedah lain jika berlaku pertembungan. Dengan kata lain, walaupun anak tersebut terbukti adalah hasil persetubuhan seorang lelaki dan perempuan, anak itu tidak boleh dinasabkan kepada lelaki tersebut tanpa sebuah ikatan perkahwinan yang sah kerana pernikahan itu sendiri adalah dalil utama bagi penentuan bin/binti seseorang anak.

Mengenai hak mewarisi harta, syarak telah menetapkan syarat mewarisi pusaka adalah melalui perkahwinan yang sah iaitu sama ada antara pasangan suami dan isteri serta anak-anak yang dilahirkan. Justeru itu, majoriti para ulama menegaskan bahawa anak yang tidak dinasabkan kepada seorang bapa iaitu anak yang dilahirkan luar perkahwinan yang sah tidak berhak mewarisi harta pusaka lelaki yang mengandungkan ibunya, tetapi boleh mewarisi harta ibu serta kerabat ibunya. Pada masa yang sama, anak itu serta zuriatnya diputuskan sebagai bukan mahram selamanya kepada bapa serta ahli keluarga bapa tersebut.

Pun begitu, masyarakat tidak harus memandang serong terhadap anak yang dilahirkan di luar pernikahan yang sah kerana dosa perbuatan itu tidak ditanggung oleh anak-anak tersebut. Prinsip Islam bahawa seseorang tidak menanggung dosa orang lain, maka hendaklah kita menghormati hak dan privasinya kerana dia tetap manusia yang kemuliaan di sisi Allah berasaskan siapa yang paling bertakwa antara kita.

Wallahua'lam

30 Zulkaedah 1444H
19 Jun 2023

###############


Tiada ulasan:

Catat Ulasan