Follower

Khamis, 19 Januari 2023

"Manakah Sesuai Antara Faraid atau Hibah Harta Saya?"

Salah Faham Mengenai Pusaka, Faraid, Wasiat dan Hibah
Siri 3

Penulis: ZulHamzah

Bila diajukan soalan sebegini, memang jem sikit lah nak jawab kerana soalan tu membandingkan antara instrumen FARAID dan HIBAH. Ia menunjukkan bahawa wujud salah faham oleh penyoal terhadap faraid dan hibah itu sendiri.

Membandingkan faraid dan hibah adalah umpama membandingkan epal dan anggur atau membandingkan kereta dan lori. Faraid dan Hibah adalah dua instrumen syarak yang berbeza, bukan saja pada hukum, tapi juga pada fungsi dan perlaksanaannya.

Salah faham terhadap faraid juga dikesan dalam perbualan apabila ia seringkali dimaknakan sebagai "bahagi" atau bahasa orang Kedah disebut "bědak". Contoh ayat yg selalu kita dengar seperti "buah tu dah habis difaraidkan" yang membawa maksud buah tersebut telah habis dibahagi-bahagikan.

Secara ringkas, faraid merujuk kepada hukum perwarisan harta pusaka. Ia hanya terpakai dalam proses pembahagian harta pusaka sahaja dan tidak terpakai dalam urusan harta yang belum menjadi pusaka. Untuk memudahkan lagi kefahaman, kewajipan hukum faraid seperti kewajipan menunaikan solat iaitu apabila masuk waktunya. Kewajipan menunaikan solat zohor apabila telah masuk waktu zohor, begitu lah kewajipan faraid apabila telah tiba kematian seseorang pemilik harta.


Hukum faraid telah ditentukan waris yang layak mendapat bahagian harta pusaka dan ditentukan nisbah bahagiannya kerana faraid tu sendiri berasal dari perkataan 'fardh' yang bermaksud 'ditentukan'. Dari kata akar fardh itulah keluar perkataan fardhu, faraid dan sebagainya yang merujuk kepada suatu yang telah ditetapkan oleh Allah.

Manakala hibah merupakan satu instrumen pengurusan harta milik orang Islam iaitu ketika si pemilik harta masih hidup. Hukumnya adalah sunat dan tidak wajib dilaksanakan sebagaimana hukum faraid. Namun instrumen hibah amat digalakkan diamalkan bagi tujuan yang dihasratkan oleh pemilik harta terutamanya bagi menjaga kebajikan dirinya dan waris-waris nya.

Tulisan ringkas ini tidak dapat menghuraikan secara lengkap Faraid dan Hibah tersebut. Cuma sebagai panduan asas untuk membetulkan kembali kefahaman ramai yang masih keliru terhadap kedua2nya.

Ingat!
Hibah = ketika pemilik harta masih hidup
Faraid = setelah kematian pemilik harta

Hibah = sunat
Faraid = wajib

Semoga perkongsian ringkas ini dapat memberi sedikit pencerahan kepada yang masih samar-samar.

Wallahua'lam

26 Jamadil Akhir 1444H
19 Januari 2023M

Tiada ulasan:

Catat Ulasan