Follower

Ahad, 7 Disember 2014

Status Freehold vs Rezab Melayu

Ramai yang tidak mengetahui atau tidak dapat membezakan antara maksud 'freehold' dan maksud 'Rezab Melayu'. Perbezaan ini bukan sahaja tidak diketahui oleh orang ramai, malah terdapat sebahagian orang yang seharian berurusan berkaitan hartanah juga seringkali terkeliru seperti broker (tidak berlesen) dan pegawai bank. Kebanyakan orang mengatakan bahawa Freehold itu adalah berlawanan dengan status Rezab Melayu. Untuk itu, saya cuba menerangkan secara ringkas akan maksud 'freehold' dan 'rezab Melayu' kerana kedua-dua istilah ini amat penting sekiranya anda terlibat atau berurusan dengan hartanah.

Freehold
Istilah 'freehold' itu sebenarnya merujuk kepada status pegangan sesuatu hartanah. Status pegangan ini pula merujuk kepada tempoh masa atau juga boleh disebutkan sebagai tempoh pemilikan yang dibenarkan atau diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri (Kerajaan Negeri) kepada pemilik hartanah berkenaan. Dengan tidak mengelirukan pembaca, maksud freehold ini boleh disimpulkan dengan maksud terjemahan ayat freehold itu sendiri iaitu

                      Free + Hold = Pegangan Bebas

Secara asasnya, terdapat 2 bentuk tempoh pemilikan hartanah yang dibenarkan di bawah Kanun Tanah Negara 1965 [Akta 56] (disebut KTN) seperti yang tercatat pada Seksyen 76 KTN adalah seperti berikut
1. tempoh yang tidak melebihi dari 99 tahun (Leasehold/Pajakan) - Seksyen 76 (a)
2. buat selama-lamanya (Freehold/Pegangan Bebas) - Seksyen 76 (aa)

Bebas yang dimaksudkan pada ayat 'freehold' itu sebenarnya merujuk kepada tempoh masa pemilikan tanah oleh seseorang ke atas tanah tersebut adalah berbentuk BEBAS. Dengan erti kata lain, pemilikan tanah oleh seseorang ke atas tanahnya adalah secara tidak bertempoh, tidak mempunyai sebarang sekatan tempoh tertentu atau tanah tersebut bebas dari pajakan. Suatu istilah lain yang 'bahasa undang-undang' bagi merujuk kepada status pemilikan secara freehold ini iaitu 'Selama-lamanya' yang membawa erti hartanah tersebut adalah selama-lamanya milik si pemilik yang tercatat namanya pada surat hakmilik sehingga ianya dijual atau bertukar tangan.

Lawan bagi freehold adalah sebenarnya 'leasehold' iaitu 'pajakan'. Pajakan bermaksud sesuatu tanah itu diberi milik oleh pihak berkuasa negeri kepada seseorang pemilik tanah adalah secara bertempoh sebagaimana yang disebutkan di dalam Seksyen 76 (a) seperti di atas iaitu dengan tidak melebihi 99 tahun. Oleh kerana maksud tulisan ini hanya berkaitan dengan istilah 'Freehold' dan 'Rezab Melayu', maka saya tidak bercadang untuk menerangkan dengan lebih lanjut mengenai istilah 'Leasehold'.

Rezab Melayu (Malay Reserved)
Tanah yang mempunyai status 'Rezab Melayu' tertakluk di bawah Enakmen Rezab Melayu 1933 (ERM) yang digunakan secara bersama dengan Kanun Tanah Negara di dalam menjaga kepentingan dan hak pemilikan orang Melayu ke atas tanah.

Ini boleh diertikan sebagai satu sekatan ke atas apa-apa urusniaga di dalam sesuatu kepentingan pada sesuatu pemilikan hartanah. Status rezab Melayu tersebut bertujuan menyekat sebarang urusniaga terutamanya pindahmilik dari pemilikan Melayu kepada bukan Melayu. Lawan bagi Rezab Melayu iaitu 'Luar Rezab Melayu' atau 'Outside Malay Reserved' iaitu sesuatu hartanah itu boleh diurusniaga antara pembeli berketurunan selain dari Melayu.

Melalui pengertian di atas terhadap maksud 'Freehold' dan 'Rezab Melayu', maka dapat disimpulkan bahawa kedua-duanya adalah membawa maksud yang berbeza. Sesuatu hartanah itu boleh sahaja berstatus 'freehold + rezab Melayu' dan boleh sahaja 'freehold + luar rezab Melayu'.

Semoga penerangan ringkas ini dapat memberi kefahaman beza antara 'Rezab Melayu' dan 'Freehold' dan semoga ianya dapat menjelaskan kedudukan dan status sesuatu hartanah. Maklumat ini penting kerana masing-masing mempunyai kesan ke atas urusniaga termasuklah kesan ke atas harga dan kesan kepada proses-proses lain yang terlibat.

Sekiranya anda mempunyai persoalan lain, sila whatsapp/telegram/telefon saya di talian 0107946549 (sms tidak dilayan).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan