Follower

Ahad, 9 Julai 2023

Nilai Sentimental Berkait Harta Pusaka

Salah Faham Mengenai Pusaka, Faraid, Wasiat dan Hibah
Siri 18

Penulis: ZulHamzah

Soalan : arwah ayah saya meninggalkan sekeping tanah pusaka dan telah selesai diagihkan faraid kepada kami adik beradik. Saya berhasrat menjualkan bahagian saya, tapi dihalang oleh adik beradik sedangkan saya amat perlukan sokongan modal untuk perniagaan saya. Apa pandangan tuan?


Jawapan :

Daripada pengalaman saya selama lebih 20 tahun berkecimpung dalam bidang berkaitan hartanah termasuk urusan pusaka dan faraid, ramai yang menggantungkan "nilai sentimental" tidak kena pada tempatnya khususnya apabila berkait dgn harta pusaka.

Contohnya harta pusaka yg telah selesai diagihkan kpd ahli-ahli waris masih lagi dianggap sebagai harta pusaka sehingga ada di kalangan waris yang membantah atau menghalang sekiranya salah sorang waris ingin menjualkan bahagiannya. Antara alasan yang sering dikumandangkan iaitu kononnya tidak menghormati arwah yang semasa hidup berhempas pulas mendapatkan harta dan sebagainya.

Harta pusaka secara mudahnya merujuk kepada "harta milik seseorang yang telah meninggal dunia iaitu yang belum diagihkan kepada warisnya". Walaupun pemilik harta telah meninggal 10 tahun lalu, selagi tidak diselesaikan agihan kepada warisnya, maka harta itu masih termasuk di bawah kategori harta pusaka. Apabila ia telah selesai diagihkan kepada waris yang berhak, automatik harta itu bukan lagi menjadi harta pusaka, tapi telah bertukar status menjadi harta hakmilik individu iaitu ahli waris yg menerima agihan harta berkenaan.

Dalam Islam, syarat sempurna pemilikan sesuatu harta merangkumi hak menguasai harta setelah berlaku penyerahan (qabd) dan kebebasan untuk menggunakan atau menguruskan sesuatu yg menjadi miliknya (tasarruf).

Elemen qabd dan tasarruf ini amat penting kerana ia juga akan menjadi ukuran tertentu dalam beberapa peraturan atau hukum syarak yang lain seperti hukum jual beli, zakat dan lain-lain. Contohnya, harta milikan A yang ditahan atau terhalang di suatu tempat. Oleh kerana elemen qabd dan tasarruf tidak wujud, maka pemilik harta tidak wajib mengeluarkan zakat atasnya seperti simpanan KWSP.

Justeru itu, apabila harta pusaka telah selesai diagihkan kepada ahli-ahli waris, secara automatiknya elemen qabd dan tasarruf itu hendaklah diperakukan dan diberikan kepada ahli waris yang menerima harta berkenaan. Pada masa yang sama, harta itu telah terputus hubungannya dengan pemilik asal dan mutlak menjadi hakmilik penerima pusaka. Maka ahli waris berkenaan berhak untuk bertasarruf dengan harta miliknya termasuk jika berhasrat untuk menjualkannya.

Sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Apabila mati seorang anak Adam, maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan daripadanya dan doa daripada anaknya yang soleh" riwayat Muslim

Hadis ini membawa pengertian bahawa setelah seseorang itu meninggal, telah terputus hubungannya dengan segala miliknya di dunia, termasuklah harta-harta yang diperolehi melalui usahanya (amalannya) semasa di dunia.

Namun, kepada ahli waris yang berhasrat nak menjual harta yang asal usulnya harta pusaka, dinasihatkan agar terlebih dahulu berbincang dengan ahli waris lain. Adalah lebih baik jika cadangan menjual itu ditawarkan kepada ahli waris lain terlebih dahulu yang mungkin berminat dan berkemampuan untuk membelinya.

Kesimpulannya, harta yang telah sempurna agihan pusaka adalah mutlak milik penerima dan tidak boleh dihalang sekiranya ingin dijualkan. Cuma bagi menjaga hubungan baik serta kepentingan bersama, semua pihak harus berbincang dan saling menghormati hak masing-masing.

Wallahua'lam

9 Julai 2023
20 Zulhijjah 1444H

#############

Rasulullah berpesan yg bermaksud _"Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkanlah ia kepada manusia. Sesungguhnya ia adalah setengah daripada ilmu dan ia adalah ilmu yang dilupakan dan ia adalah ilmu yang mula-mula akan dicabut daripada umatku"_ Riwayat Ibn Majah

Dijemput sertai group whatsapp yang khas yang membicarakan tajuk 
🔶️ *HARTANAH* 🔶️ *HARTA PUSAKA* 🔶️ *FARAID* 🔶️ *WASIAT* 🔶️ *HIBAH* 🔶️

Tiada ulasan:

Catat Ulasan