Follower

Isnin, 30 Januari 2023

"Arwah ayah meninggalkan sekeping tanah, keluasan 5 ekar. Kami ada 6 beradik (2L + 4P) dan berfikir jika nak dibahagikan mengikut faraid, berapa lah sangat hasilnya. Maka kami sepakat untuk teruskan usaha arwah ayah dan bahagikan hasil serta menanggung kos secara bersama. Bagaimana kedudukan di sudut hukum faraid?"

Salah Faham Mengenai Pusaka, Faraid, Wasiat dan Hibah.
Siri 8 - Bahagian 2

Penulis : ZulHamzah

Dalam Bahagian 1 (Klik), telah dibawakan 3 contoh kiraan untuk menunjukkan amalan yang biasa dibuat oleh masyarakat dan menyebabkan ada di kalangan waris mengambil atau memakan hak waris lain tanpa sedar. Contoh kiraan tersebut iaitu

Kiraan 1
(Pendapatan - kos) ÷ jumlah waris
(10,000 - 1000) ÷ 6
= 9000 ÷ 6
= RM1,500 seorang
Nota : pendapatan keseluruhan ditolak kos dan dibahagikan secara sama rata kpd 6 orang waris.

Kiraan 2
((Pendapatan - kos) ÷ luas tanah ) x luas faraid
((10,000 - 1000) ÷ 5) x 1.25@0.625
AL : (9000 ÷ 5) x 1.25 = RM2,250
AP : (9000 ÷ 5) x 0.625 = RM1,125
Nota : Pendapatan ditolak kos, dibahagikan dgn keluasan tanah bagi mendapatkan untung setiap ekar dan didarabkan nilai bahagian waris ikut bahagian faraid.

Kiraan 3
((Pendapatan ÷ luas tanah) x luas faraid) - (kos ÷ jumlah waris)
= ((10,000 ÷ 5) x 1.25@0.625) - (1000 ÷ 6)
AL : (2000 x 1.25) - (167) = RM2,333
AP : (2000 x 0.625) - (167) = RM1,083
Nota : Pendapatan dibahagi luas tanah untuk dapatkan untung setiap ekar dan didarabkan dengan nilai bahagian setiap waris. Kemudian ditolak kos yang dikira secara sama rata oleh setiap waris.

Bagi kiraan 1, waris-waris telah bersetuju untuk membahagikan hasil secara sama rata. Ia bukanlah satu kesalahan, namun sekiranya dilaksanakan tanpa mengambil kira hak faraid waris-waris ke atas tanah, secara tidak langsung sebahagian waris akan dinafikan haknya.

Dalam contoh kes ini, keluasan milik waris lelaki adalah 1.25 ekar seorang, manakala bagi anak perempuan 0.625 ekar seorang. Jelas apabila pendapatan atau keuntungan dibahagi sama rata, ia tidak setara dengan keluasan yang dimiliki, sebaliknya menguntungkan waris perempuan walaupun memiliki keluasan yang kurang dari lelaki.

Manakala bagi kiraan ke 3, walaupun agihan pendapatan/keuntungan mengikut formula faraid, kiraan kos telah ditetapkan untuk ditanggung secara sama rata oleh setiap ahli waris. Ini menyebabkan waris perempuan terpaksa menanggung kos melebihi had milikannya. Seterusnya menyebabkan waris lelaki mendapat lebihan yang tidak mengikut had sepatutnya.

Hanya kiraan 2 sahaja yang menepati agihan mengikut faraid iaitu semua pendapatan dan kos dikira mengikut keluasan tanah yang menjadi milik setiap ahli waris. Formula di atas adalah ringkasan daripada ((pendapatan ÷ luas tanah) × luas faraid) tolak ((kos ÷ luas tanah) x luas faraid).

Pendapatan dan kos ditanggung secara bersama tidak boleh ditakrifkan sebagai "ditanggung sama rata", sebaliknya ia hanya bermaksud "usaha bersama-sama".

Kesimpulannya iaitu jalan terbaik agihan dikira mengikut kadar bahagian masing-masing kecuali para waris ketahui hak faraid masing-masing, kemudian waris lelaki bersetuju dan redha berkongsi sebahagian keuntungan dengan saudara perempuan. Yang penting, hak faraid perlu diketahui dan dijelaskan terlebih dahulu dan apabila keputusan ini diambil, tidak patut lagi ada pihak-pihak yang kembali menuntut di hari kemudian.

Jangan kononnya "ingin berlaku adil", hakikatnya telah menzalimi satu pihak yang lain. Dan jangan kerana kesilapan kecil, sebahagian waris mengambil hak waris lain dan tanpa sedar telah memakan hasil yang bukan menjadi haknya.

Wallahua'lam

8 Rejab 1444H
29 Januari 2023M

Tiada ulasan:

Catat Ulasan