Salah Faham Mengenai Pusaka, Faraid Wasiat dan Hibah
Siri 9 - Bahagian 2
Penulis : ZulHamzah
gambar hiasan |
Dalam Siri 9 - Bahagian 1 yang lepas telah diterangkan sedikit sebanyak mengenai fungsi Pentadbir dalam urusan Pusaka. Pada bahagian kedua ini, akan dijelaskan secara ringkas dan mudah apa yang dimaksudkan dengan Pemegang Amanah iaitu salah satu daripada 3 fungsi yang sering menjadi kekeliruan dalam masyarakat.
Pemegang Amanah iaitu satu pihak sama ada individu atau sebuah syarikat yang diberi kebenaran untuk dilantik sebagai pemegang amanah bagi tujuan menyempurnakan satu perkara yang telah ditetapkan atau ditaklifkan kepadanya apabila telah tiba masanya.
Perlantikan Pemegang Amanah ini boleh berlaku dalam 2 keadaan iaitu semasa pemilik harta masih hidup atau selepas meninggal.
Perlantikan seorang Pemegang Amanah ketika pemilik harta masih hidup iaitu contohnya jika pemilik harta berhasrat untuk menghibahkan hartanya berupa sebuah rumah kepada seorang yang berumur bawah 18 tahun. Menurut KTN, seorang yang bawah umur 18 tahun tidak boleh didaftarkan namanya di dalam apa-apa dokumen hakmilik. Maka pemilik harta boleh melantik seorang Pemegang Amanah bagi melaksanakan tanggungjawab memindahkan harta tersebut kepada penerima apabila telah mencapai umur 18 tahun.
Pemegang Amanah yg dilantik selepas pemilik harta meninggal iaitu apabila diarahkan oleh kuasa yang lebih tinggi seperti mahkamah. Contohnya seorang pemilik harta meninggalkan waris yang belum cukup umur 18 tahun, maka pihak mahkamah boleh mengarahkan melantik seorang pemegang amanah bagi tujuan menjaga kepentingan kanak-kanak tersebut ke atas harta pusaka miliknya. Apabila kanak-kanak itu mencapai umur 18 tahun, maka harta itu akan dipindahkan kepadanya secara rasmi dan sah menurut undang-undang negara.
Pemegang Amanah juga seperti Pentadbir iaitu bukan pemilik harta yang telah diamanahkan. Cuma bezanya iaitu perlantikan seorang Pemegang Amanah bagi harta berupa rumah dan tanah boleh didaftarkan secara sah di dalam dokumen hakmilik dengan menyatakan bagi pihak siapakah amanah tersebut dipegang. Manakala Pentadbir tidak perlu didaftarkan di dalam dokumen hakmilik dan kuasa pentadbir hanya sebagai seorang penyelia atau pengurus kepada harta. Justeru, seorang Pemegang Amanah tidak boleh sewenang-wenangnya menjual atau memindah milik harta yang diamanahkan kepada pihak lain.
Antara perlantikan Pemegang Amanah yang biasa diamalkan di Malaysia juga adalah seperti Pemegang Amanah kepada wang simpanan atau insurans dan Pemegang Amanah bagi satu kumpulan pemilik harta yang tidak boleh didaftarkan.
Namun yang sering menjadi salah faham iaitu fungsi Pemegang Amanah bagi wang simpanan atau insurans apabila pemegang amanah yang dinamakan beranggapan bahawa wang simpanan atau wang pampasan insurans tersebut adalah miliknya. Ini berlaku kerana pemilik harta tidak sertakan sebarang pesanan atau wasiat ke atas tujuan 'penamaan' tersebut sama ada sebagai pemegang amanah atau penerima harta. Keadaan ini banyak menimbulkan konflik dalam masyarakat sehingga menyebabkan Pemegang Amanah telah mengambil atau memakan harta yang bukan miliknya.
Contoh perlantikan Pemegang Amanah bagi sekumpulan pemilik harta yang tidak dapat didaftarkan berlaku apabila sekumpulan orang membeli harta yang tidak dapat dipecah bahagi, maka mereka melantik salah seorang di kalangan mereka sebagai wakil untuk namanya didaftarkan di dalam dokumen hakmilik sebagai pemilik, bukan sebagai Pemegang Amanah. Amalan ini agak berisiko kerana sekiranya berlaku kematian kepada pemegang amanah, harta itu akan diproses sebagai pusaka kepada waris-waris nya. Selain itu, jika berlaku kematian di kalangan pemilik yang dipegang amanah, waris-waris si mati tidak dapat memohon proses pusaka kerana tiada bukti pemilikan si mati ke atas tanah berkenaan.
Oleh yang demikian, adalah dinasihatkan kepada pemilik harta agar melakukan tindakan yang betul bagi melaksanakan apa jua niat dan hasrat. Dapatkan nasihat yang arif sebelum melakukan sebarang urusan kerana selepas kita meninggal, tiada apa lagi yang boleh dibetulkan. Malah jika kita ingin kembali ke dunia untuk melakukan sebanyak-banyak sedekah pun pun sudah tidak berpeluang lagi.
Wallahua'lam
28 Rejab 1444H
19 Februari 2023M
Tiada ulasan:
Catat Ulasan