Follower

Rabu, 1 Februari 2023

Dalam urusan pusaka, apa fungsi Pentadbir?

Salah Faham Mengenai Pusaka, Faraid Wasiat dan Hibah
Siri 9 - Bahagian 1


Oleh ZulHamzah
Dalam urusan berkaitan apa-apa harta khususnya harta pusaka, terdapat 3 istilah yang mewakili 3 fungsi berbeza. Namun masih ramai yang tidak memahaminya dengan jelas dan sering berlaku salah faham sehingga terkeliru fungsi manakah yang sedang dijalankan.

3 fungsi tersebut iaitu
1. Pentadbir
2. Pemegang Amanah
3. Wakil Pemegang Kuasa

Dalam bahagian ini, hanya akan dijelaskan secara ringkas siapa Pentadbir dan fungsinya.

"Pentadbir" atau istilah orang dulu-dulu iaitu "Kepala Kuasa". Ia merujuk kepada seseorang yang dilantik bagi menguruskan urusan pusaka yang ditinggalkan oleh si mati. Perlantikan pentadbir ini boleh dibuat oleh pemilik harta sewaktu hidup atau oleh para waris selepas kematian pemilik harta.

Kepala kuasa boleh dilantik dari kalangan ahli waris ataupun pihak ketiga yang dipercayai mampu mengendalikan urusan-urusan berkaitan. Terdapat 3 fungsi utama pentadbir iaitu
1. Wakil ahli waris untuk berurusan dengan pihak berkaitan bagi proses pembahagian harta pusaka atau dalam membuat apa-apa tuntutan.
2. Mentadbir, mengurus dan menyelia harta milik si mati yang dipusakakan, contohnya jika perlu pembaikan, kutipan sewa dan seumpamanya.
3. Melaksanakan keputusan yang telah diputuskan dalam perbicaraan pusaka sehingga selesai agihan atau pembahagian harta pusaka kepada yang berhak.

Cuma wujud beberapa kesalahfahaman dalam konteks fungsi kepala kuasa ini, antaranya

1. Kepala kuasa ada kuasa veto
Sebenarnya sesiapa jua yg dilantik sebagai kepala kuasa tidak mempunyai kuasa veto atau hak mutlak membuat keputusan secara bersendirian atau "ikut kepala dia".

Kepala kuasa hanya berfungsi sebagai pentadbir, sama sekali tidak boleh bertindak seperti pemilik harta dan sebarang keputusan mestilah melalui persetujuan waris-waris lain.

2. Kuasa membahagikan harta
Kepala kuasa tidak ada sebarang 'legitimate' utk membahagi-bahagikan harta pusaka ikut suka atau kehendaknya. Contohnya si mati ada harta di berlainan lokasi, kemudian kepala kuasa memutuskan harta di lokasi 1 diserah kpd A, harta lokasi 2 diberi kpd B atau seumpamanya.

Kepala kuasa tiada hak untuk memutuskan demikian tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan semua waris yg berhak atas semua harta pusaka terbabit.

3. Kepala kuasa mesti abang sulung atau anak lelaki paling tua
Sebenarnya ini satu kebiasaan yg dah menjadi adat kerana orang lelaki lebih mudah nak ke sana sini, lebih mudah nak berurusan dgn pihak terbabit dan tidak terlalu terikat dgn banyak halangan2 syarak bagi menjauhi fitnah.

Ia juga menjadi adat kerana abang/anak lelaki paling tua lebih dewasa berbanding waris-waris lain yg mungkin masih bersekolah atau bawah umur ketika pemilik harta meninggal. Hakikatnya sesiapa juga di kalangan waris atau kerabat si mati boleh dilantik sebagai pentadbir walaupun seorang perempuan, dengan syarat berumur 18 tahun ke atas.

Itu lah antara beberapa salah fahaman yg banyak berlaku dalam masyarakat dan menyebabkan banyak kes harta pusaka tidak dapat diselesaikan dengan cepat dan baik....malah berlaku pengabaian, ada pihak yg dizalimi dan dinafikan haknya, berlaku amalan memakan harta anak yatim secara haram dan berbagai2 masalah lain lagi...

Harus diingat bahawa hal ehwal harta pusaka ini akan dihisab di Akhirat kelak....oleh itu, selesaikan lah harta pusaka sebaiknya...tak berbaloi hanya untung sedikit atas dunia, tapi diazab di Akhirat selamanya, walhal ibadah2 kita lain spt solat, puasa, zakat dan haji telah sempurna.

Wallahua'lam

11 Rejab 1444H
1 Februari 2023M
(Tulisan asal bertarikh 5 Rejab 1443H @ 6 Februari 2022)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan