Follower

Rabu, 10 Mei 2023

AKIBAT KEJAHILAN UMAT

Penulis: ZulHamzah
Jika kita hanya sekadar membaca tajuk berita, pasti kita akan berkata bahawa anak yang sanggup buat laporan polis terhadap ibu sendiri boleh dianggap sebagai anak derhaka dan zalim kepada ibu sendiri. Tapi apabila ditelusuri kisah di sebaliknya, baru lah difahami kenapa anak-anak itu bertindak demikian.

Tindakan anak tersebut berpunca dari si ibu yang dikatakan menyembunyikan dokumen hakmilik tanah milik arwah suaminya yang juga bapa kepada anak-anak itu selepas si suami meninggal. Si ibu juga telah didakwa menggadaikan tanah-tanah itu kepada pihak lain sehingga menimbulkan konflik dalam keluarga kerana pusaka tidak dapat diagihkan seterusnya menafikan hak anak-anak bagi mewarisi harta pusaka tinggalan arwah bapa mereka.

Kenapa ini boleh terjadi?.
Jawapannya iaitu kerana kejahilan umat Islam mengenai hukum perwarisan Islam iaitu hukum faraid yang merupakan hukum langsung dari Allah sebagaimana telah ditetapkan oleh Allah di dalam al Quran melalui ayat 7 surah an Nisa yang bermaksud:

"Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah)".

Manakala waris-waris yang wajib diagihkan pusaka berserta kadar bahagian masing-masing telah dinyatakan secara jelas pada ayat 11, 12 dan 176 surah an Nisa.

Berbalik kepada isu ibu dan anak-anak tersebut, sepatutnya segala harta pusaka milik si mati hendaklah diselesaikan dengan kadar segera selepas kematian pemiliknya serta diselesaikan segala hutang-hutang nya. Kita tidak boleh bersetuju dengan tindakan anak-anak melaporkan ibu kepada pihak berkuasa, pada masa sama kita juga sama sekali tidak boleh bersetuju dengan tindakan si ibu.

Walaupun kejadian ini bukan berlaku di Malaysia, tapi ia bukan suatu yang mustahil berlaku, malah telah banyak berlaku, cuma jarang mendapat liputan berita tempatan.

Rasulullah bersabda yang bermaksud : "lmu itu ada tiga, selainnya adalah lebihan sahaja, iaitu ayat Muhkamat (ayat hukum yang tidak dimansuhkan), sunnah yang sahih yang diriwayatkan oleh Rasulullah SAW dan ilmu pembahagian harta pusaka yang adil". Riwayat Abu Daud

Manakala Saidina Umar r.a pernah memberi pesan dengan berkata : "Pelajarilah ilmu faraid kerana ia sebahagian daripada agama kamu.”

Usah diremehkan kepentingan mempelajari atau sekurang-kurangnya mengambil tahu mengenai hukum dan ilmu faraid. Akibat meninggalkan hukum faraid dalam pembahagian harta pusaka bakal menimbulkan konflik dalam keluarga, hilang rahmat dan redha Allah ke atas harta yang dimiliki seterusnya bakal menjerumuskan diri serta keluarga memakan harta secara bathil, menjarah harta anak yatim dan seumpamanya.

Wallahua'lam
19 Syawal 1444H
10 Mei 2023

Hubungi kami jika anda perlukan khidmat pengurusan harta pusaka dan faraid atau sekiranya anda berhasrat merancang harta milik anda demi masa depan waris-waris anda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan