Follower

Isnin, 27 Mac 2023

"Tuan, saya ada dengar satu pandangan yang mengatakan waris-waris boleh memilih untuk ikut hukum faraid atau persetujuan bersama dalam agihan harta pusaka. Betul ke?"

Salah Faham Mengenai Pusaka, Faraid, Wasiat dan Hibah
Siri 13

Penulis: ZulHamzah

Jawapan :

Islam tidak pernah melarang atau menegah manusia untuk berlumba-lumba mencari harta dunia. Malah, Allah secara jelas berfirman dalam al Quran yang bermaksud:

"Apabila solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di bumi ; carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung". ayat 10 surah al Jumuah

Namun dalam apa jua pekerjaan dan urusan manusia, kita tidak terlepas daripada mematuhi peraturan dari Allah sama ada berupa perintah atau larangan atau nasihat yang telah disampaikan melalui kalam Rasulullah dan perbuatan Baginda.

Harta pusaka merupakan harta yang telah dimiliki oleh seseorang ketika hayatnya dan diperolehi secara halal pada syarak dan sah oleh undang-undang negara, sama ada melalui pembelian, hadiah, keuntungan yang dijana oleh perniagaan, pemilikan syarikat dan seumpamanya. Apabila si pemilik harta itu meninggal, segala hartanya telah dikategorikan sebagai harta pusaka.

Bagi seorang Islam, apabila hartanya telah menjadi harta pusaka, automatik segala harta pusaka tersebut tertakluk di bawah hukum faraid sebagaimana firman Allah dalam al Quran yang bermaksud:
"Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu...." permulaan ayat 11 surah an Nisa


Pada permulaan surah an Nisa, Allah telah menerangkan perihal harta iaitu
Ayat 5 : mengenai harta yang diamanahkan bagi pihak seorang yang belum aqil baligh atau tidak sempurna akal
Ayat 6 : mengenai amanah harta milik anak yatim
Ayat 7 - 10 : ahli waris dan kaum kerabat yang layak perolehi harta pusaka secara umum dan ancaman-ancaman kepada sesiapa yang menyelewengkan harta anak yatim atau memakan harta secara bathil.
Ayat 11 dan 12 : waris-waris khusus menerima agihan pusaka dan jumlah bahagian setiap ahli waris.
Ayat 13 : firman Allah yang bermaksud
"Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar."

Berdasarkan susunan ayat al Quran tersebut di atas, jelas dan terang bahawa hukum faraid bukan satu pilihan ke atas harta pusaka, malah ia telah ditetapkan sebagai "hududullah" yakni hukum dari Allah sebagaimana Allah mewajibkan ibadah solat, puasa, zakat dan lain-lain apabila telah sampai waktunya.

Namun begitu, hukum faraid tidak lah bersifat 'syadid' dalam perlaksanaannya. Para alim ulama khususnya ahli fiqh telah membuat satu S.O.P (Standard Operating Procedure) dalam melaksanakan proses faraid dengan membenarkan ahli waris melakukan proses dinamakan "takharruj" iaitu melepaskan hak atau bahagian masing-masing kepada waris lain. Proses takharruj ini boleh diambil sebagai satu peluang oleh waris untuk saling memberi hadiah bagi mengeratkan silaturrahim serta hubungan kekerabatan.

Kesimpulan kepada soalan diajukan iaitu tidak benar jika ada yang berpandangan bahawa waris boleh memilih antara hukum faraid atau kaedah lain dalam agihan harta pusaka. Hukum dari Allah tidak boleh disamatarakan dengan sebarang bentuk hukum ciptaan manusia atau yang disepakati oleh orang ramai. Cuma jangan memahami hukum faraid secara 'surface' dan memesongkan fahaman orang ramai seolah-olah hukum faraid tidak lebih hanyalah suatu pilihan sedangkan jelas nyata bahawa hukum faraid adalah ketetapan atau ketentuan dari Allah.

Wallahua'lam

5 Ramadhan 1444H
27 Mac 2023

Tiada ulasan:

Catat Ulasan