Follower

Ahad, 26 Mac 2023

Soalan : Tanah pusaka arwah ayah saya telah selesai agihan faraid, semua nama waris telah tercatat pada geran dan dinyatakan bahagian masing-masing. Perlukah buat pembahagian lagi pada tanah?

Salah Faham Mengenai Pusaka, Faraid, Wasiat dan Hibah
Siri 12

Penulis: ZulHamzah

gambar hiasan
Jawapan:

Pemilikan hartanah di negara ini ditadbir di bawah undang-undang yang dinamakan Kanun Tanah Negara atau ringkasnya KTN. KTN yang telah berkuatkuasa sejak tahun 1960 di Malaysia adalah berasaskan sistem Torrens yang mula diperkenalkan oleh pentadbiran British ke atas Tanah Melayu sejak tahun 1864 (Ridzuan Ahmad, 1994).

Mengikut prinsip Torrens, setiap urusniaga berkaitan dengan tanah perlu mematuhi keperluan tertentu bagi menjamin keabsahan urusniaga dan pengeluaran dokumen pendaftaran atau dokumen hakmilik atas tanah berkenaan memberikan hak yang tidak boleh disangkal. Ini bermakna mengikut sistem Torrens, hak pemilik berdaftar adalah mutlak dan tidak boleh dipersoalkan.

Secara umumnya, terdapat 2 prinsip utama dalam sistem Torrens ini iaitu "Prinsip Cermin" dan "Prinsip Tabir". Ringkas prinsip cermin iaitu merujuk kepada apa yg dinyatakan di dalam dokumen pendaftaran hakmilik seperti nama pemilik, butir-butir mengenai tanah, luas kawasan dan lokasinya, pelan ukur dan had sempadannya adalah jelas, nyata dan terang merupakan maklumat sebenar yang tidak boleh disangkal.

Balik kepada soalan dinyatakan, proses faraid yang telah dibuat hanya merujuk kepada proses agihan yang berlaku pada dokumen hakmilik atau bahasa mudahnya iaitu pembahagian atas kertas, sedangkan harta pusaka yang sebenar adalah tanah yang terkandung dalam dokumen hakmilik berkenaan, bukannya dokumen itu yang merupakan harta pusaka nya.

Semua proses harta pusaka hanya akan dibuat pada dokumen hakmilik sahaja, pecahan atau agihan petak-petak tanah di atas tanah hendaklah diselesaikan oleh pewaris melalui perundingan dan persetujuan bersama dengan memberi keadilan kepada semua waris. Semua pemilik petak atau pemilik bahagian daripada tanah layak perolehi keadilan atau hak yang sama meliputi kemudahan jalan, parit dan saliran, elektrik dan seumpamanya.

Justeru itu, menyelesaikan agihan faraid pada dokumen hakmilik sebenarnya belum menyempurnakan agihan faraid itu sendiri. Setiap waris hendaklah ditentukan bahagian miliknya supaya setiap orang ada hak dan kuasa untuk bertasarruf dengan harta miliknya tanpa diganggu gugat atau dianggap penceroboh.

Jika zaman dahulu khususnya sebelum 90an kebanyakan sempadan tanah ditanda oleh pokok, parit, barisan pokok bunga dan sebagainya. Amalan ini patut dilupakan dan ditinggalkan kerana lebih banyak kesan buruk terutamanya apabila tanah tersebut hendak dijual atau berpindah milik. Justeru itu, para waris disarankan mendapatkan khidmat juru ukur bertauliah bagi membuat tandaan sempadan yang bukan setakat ditanda di tanah, malah dilakarkan sebagai plan supaya boleh menjadi rujukan pada masa depan.

Kesimpulannya urusan pusaka hendaklah diselesaikan hingga setiap waris telah ditentukan haknya mendapatkan haknya dengan jelas dan tidak bercampur dengan hak waris lain agar terhindar dari memakan harta bathil.

Wallahua'lam

26 Mac 2023
4 Ramadhan 1444H

Tiada ulasan:

Catat Ulasan