Salah Faham Mengenai Pusaka, Faraid, Wasiat dan Hibah
Siri 11
Penulis : ZulHamzah
Isu seperti dikemukakan seringkali diterima apabila kita berkecimpung dalam bidang pengurusan harta pusaka khususnya melibatkan hukum faraid.
Alhamdulillah, masyarakat beragama Islam di Malaysia semakin cakna dan celik hukum faraid. Namun masih ramai yang perlu diberi faham akan kewajipan menguruskan harta pusaka mengikut kaedah faraid serta prosedur yang wajib dipatuhi dalam hukum faraid.
Balik kepada isu yang diutarakan, perkara asas yang perlu diketahui bukannya nilai agihan harta yang bakal diterima oleh setiap waris, sebaliknya yang perlu diketahui iaitu jumlah bahagian atau pecahan setiap waris sama ada 1/3, 1/6, 1/8 dan sebagainya. Ini kerana, pecahan tersebut tidak berubah walau apa pun jenis harta dimiliki oleh si mati sama ada ia berupa wang tunai, barang kemas, tanah dan rumah. Setiap waris akan mempunyai hak yang sama ke atas setiap jenis harta mengikut pecahan masing-masing.
Contoh kiraan dalam soalan diajukan, ia bermakna pecahan kepada setiap waris iaitu 2/6 oleh setiap anak lelaki dan 1/6 oleh setiap anak perempuan. Formula atau pecahan ini lah yang perlu digunapakai dalam semua jenis harta si mati, bukan berbeza-beza mengikut jenis harta atau dengan kata lain jika harta pusaka itu berupa wang tunai dan pecahan diterima oleh anak lelaki sebanyak 2/6, maka daripada rumah juga sebanyak 2/6.
Begitu juga sekiranya nilai harta tersebut berubah-ubah oleh kerana kelewatan menyelesaikan urusan pusaka. Contoh rumah si mati disewakan, ketika meninggal kadar sewaan adalah RM500, kemudian kadar sewaan dinaikkan kepada RM600. Maka agihan yang diterima oleh waris daripada hasil sewaan tersebut masih menggunakan formula pecahan yang sama dan tidak berubah sampai bila-bila selagi harta pusaka itu tidak diselesaikan agihan.
Malah sekiranya salah sorang di kalangan waris itu meninggal sedangkan proses pusaka belum sempat selesai, bahagian nya akan dialihkan kepada waris-waris nya sebagai ganti. Contoh jika salah sorang anak lelaki tersebut meninggal, hak nya iaitu 2/6 daripada rumah dan simpanan atau mana-mana harta yang belum selesai proses pusaka akan diagihkan pula kepada warisnya. Kematian mana-mana ahli waris tidak menghilangkan kelayakan mewarisi setelah sesorang itu layak mewarisi.
Justeru itu, dinasihatkan kepada semua waris-waris agar tidak melengah-lengahkan proses harta pusaka. Sekiranya kita tidak selesaikan sekarang atau ketika masih hidup, ia hanya menyukarkan anak cucu kita kemudian. Kepada anak-anak yang tahu ibu atau ayahnya belum selesaikan proses pusaka atok dan nenek, nasihatkanlah agar segera diuruskan supaya tidak membebankan waris-waris di masa depan.
Wallahua'lam
25 Syaaban 1444H
18 Mac 2023M
Tiada ulasan:
Catat Ulasan