Salah Faham Mengenai Pusaka, Faraid, Wasiat dan Hibah
Siri 5
Penulis: ZulHamzah
Terlalu banyak kes harta pusaka umat Islam yang tidak diselesaikan agihan. Menurut data yang dikeluarkan pada tahun 2016, nilai harta yang dibekukan akibat pusaka berjumlah RM60Bilion. Angka ini terus meningkat kepada RM90Bilion pada tahun 2021 dan 90% daripadanya adalah harta pusaka orang Islam.
Terdapat pelbagai kesan yang boleh diteliti dan kesemuanya hanyalah membawa kesan negatif, tiada satu pun kesan positif pada keadaan ini. Antara kesan berikut iaitu
1. Persengketaan waris-waris berpanjangan
Harta pusaka sepatutnya menjadi alat mempertautkan hubungan silaturrahim di kalangan ahli keluarga. Malah pertalian antara waris adalah pertalian darah daging, namun apabila harta pusaka tidak diuruskan dengan baik, berlakulah sengketa sesama darah daging dan berpanjangan.
2. Memakan harta bathil dan anak yatim
Terdapat sebilangan kes yang tidak berjaya diselesaikan kerana wujud sikap tamak sesetengah pihak untuk membolot harta pusaka dengan alasan yang tidak selayaknya. Ini akan menjerumuskan pihak-pihak berkenaan dalam perbuatan memakan hasil daripada harta pusaka yang bukan haknya secara salah dan bathil.
Lebih malang apabila salah seorang waris meninggal dan mempunyai waris, pihak yang tidak memulangkan harta pusaka milik arwah ibubapanya akan secara tidak langsung telah terlibat memakan harta anak yatim. Ini satu kesalahan besar dalam Islam dan diberi ancaman keras oleh Allah di dalam al Quran terhadap orang yang memakan harta anak yatim secara salah.
3. Makin dibiar, makin sukar untuk diselesaikan
Jumlah harta pusaka tidak akan bertambah atau berkurang walaupun dibiarkan berlarutan, tetapi yang bertambah dan berkurang adalah jumlah waris. Keadaan ini akan menyebabkan penyelesaian semakin sukar apabila melibatkan lebih ramai waris-waris ganti.
4. Jumlah agihan makin mengecil dan hilang manfaat
Apabila berlaku pertambahan waris akibat wujudnya waris ganti, nilai harta atau jumlah agihan yang akan diterima oleh setiap waris adalah makin mengecil. Jika di peringkat awal, tanah 1 ekar hanya diwarisi oleh 10 orang. Oleh kerana tidak diselesaikan awal, tanah yang 1 ekar itu mungkin kini layak diwarisi oleh 100 orang.
Keadaan boleh membawa kepada hilangnya manfaat waris-waris ke atas harta tersebut dan menyebabkan sebahagian waris tidak berminat untuk berikan kerjasama bagi menyelesaikan pusaka dengan alasan tidak berbaloi untuk mengeluarkan kos, tenaga dan masa.
5. Kerugian kepada seluruh umat Islam
Harta-harta yang dibekukan itu kesemuanya mempunyai nilai masing-masing sama ada di sudut nilai ekonomi atau nilai manfaatnya. Apabila ia dibekukan, secara tidak langsung segala nilai ekonomi dan manfaat harta tersebut juga terbeku. Tidak boleh dijual beli, sebahagiannya tidak boleh diusahakan akibat halangan waris dan seumpamanya. Ia bukan sahaja merugikan para waris, tapi merugikan seluruh umat Islam.
Banyak lagi kesan yang muncul akibat harta pusaka yang tidak diselesaikan ini. 5 kesan di atas adalah antaranya dan yang sepatutnya difikirkan oleh para waris agar segera mencari jalan penyelesaian. Harus ada tolak ansur dan wajib mematuhi garis panduan al Quran dan Sunnah kerana Allah telah berpesan dalam al Quran yang bermaksud :
"....Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (iaitu al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari Kiamat. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik kesudahannya”
- ayat 59, surah an Nisa
Wallahua'lam
1 Rejab 1444H
23 Januari 2023M
Tiada ulasan:
Catat Ulasan