Follower

Sabtu, 28 Januari 2023

"arwah ayah letak nama abang sulong sebagai penama akaun KWSP, selepas ayah meninggal, abang sulong keluarkan duit KWSP arwah ayah dan beli rumah, macam mana tu?"

Salah Faham Mengenai Pusaka, Faraid, Wasiat dan Hibah
Siri 7

Penulis : ZulHamzah

Yang dimaksudkan dengan harta pusaka iaitu harta yang diperolehi oleh seseorang semasa hayatnya. Sama ada harta itu berupa hasil usahanya, hadiah, pemberian, harta yang dipusakai dari datuk nenek, keuntungan perniagaan dan lain-lain yang diperolehi melalui jalan halal.

Persoalan yang diajukan iaitu mengenai tindakan 'penama' yang menggunakan duit simpanan KWSP si mati yg merupakan arwah ayahnya untuk membeli rumah. Apakah status dan kesannya?.

Wang KWSP termasuk sebagai harta pusaka kerana ia merupakan simpanan yg dijana daripada usaha seseorang dan sumbangan majikan semasa hayatnya. Maka setelah meninggal, wang KWSP tersebut wajib melalui proses pusaka dengan melaksanakan agihan mengikut hukum faraid.

Peraturan oleh pihak KWSP iaitu pemilik akaun boleh melantik penama bagi memudahkan pengeluaran apabila berlaku kematian. Penama dalam hal ini bukan merujuk sebagai penerima, tapi bertindak sebagai pentadbir yang perlu menguruskan proses pusaka dan agihan terhadap simpanan KWSP tersebut.

Isunya di sini apabila si penama telah bertindak menggunakan wang KWSP tersebut untuk membeli rumah. Cuma tidak dinyatakan sama ada tindakan itu mendapat persetujuan waris-waris atau tidak, juga tidak dinyatakan nama siapakah yang didaftarkan sebagai pemilik rumah tersebut.

Walau apa pun, sama ada mendapat persetujuan atau tanpa persetujuan para waris, rumah yang dibeli menggunakan wang pusaka adalah menjadi harta pusaka. Ini berdasarkan prinsip segala hasil yang terbit daripada pusaka adalah pusaka sebagaimana hasil padi daripada pokok padi yang ditanam oleh si mati atau keuntungan yang terbit daripada saham milik si mati.

Wang KWSP milik si mati sepatutnya diagihkan terlebih dahulu, namun telah digunakan untuk membeli rumah. Walaupun wang tersebut telah berubah bentuk atau nilai, ia tidak menghilangkan hak para waris ke atas harta yang dipusakakan. Dengan kata lain, selagi harta pusaka tersebut tidak diagihkan, ia akan terus menjadi hakmilik bersama para waris walaupun berubah dan ditukar dalam bentuk apa pun.

Begitu juga jika seorang waris menggunakan hasil jualan padi yang ditanam oleh si mati untuk membeli benih padi bagi penanaman musim berikutnya. Maka hasil padi yg terbit daripada benih padi itu adalah pusaka. Si penanam padi hanya berhak atas upah dan kos sahaja. Namun terdapat pengiraan yang khusus dalam penentuan sumbangan setiap waris faraid terhadap kos dan keuntungan.

Berbalik kepada tindakan pembelian rumah menggunakan wang KWSP si mati. Sekiranya pembelian itu tanpa keizinan waris-waris, ia merupakan satu penyelewengan atau pecah amanah. Apatah lagi jika diletakkan atas nama salah sorang waris dengan tujuan yang bathil, maka segala hasil yang terbit daripada rumah tersebut seperti sewaan adalah harta bathil.

Oleh itu, berhati-hati lah dalam melaksanakan sebarang urusan harta pusaka kerana dengan sedikit kesilapan boleh menjerumuskan diri dalam kesalahan memakan harta bathil.

Wallahua'lam

6 Rejab 1444H
28 Januari 2023M

Tiada ulasan:

Catat Ulasan