Follower

Khamis, 26 Januari 2023

"Harta saya berupa rumah, tanah dan wang simpanan, bagaimana cara terbaik untuk saya hibahkan kepada anak-anak saya?"

Salah Faham Mengenai Pusaka, Faraid, Wasiat dan Hibah
Siri 6

Penulis : ZulHamzah
Hibah merupakan satu instrumen urusan berkait dengan harta milikan yang dibenarkan oleh syarak. Ia merupakan pemberian semasa hayat pemilik harta tanpa balasan kepada satu pihak atau beberapa pihak.

Tujuan hibah dilakukan adalah untuk menjaga keharmonian ahli waris selepas pemberi hibah meninggal. Ia adalah amalan sunat dan alternatif dalam pengurusan harta mengikut kaedah Islam tanpa menafikan kewajipan melaksanakan faraid setelah berlaku kematian pemilik harta.

Walaupun tiada had atau sebarang amaun ditetapkan dalam amalan hibah, tiada juga dinyatakan jumlah dan siapa yang layak menerima hibah, Islam senantiasa menganjurkan setiap umatnya berlaku adil dalam membuat sebarang keputusan.

Adil tidak bermaksud sama rata atau sama banyak. Adil menurut Islam iaitu meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Lawan kepada adil iaitu zalim dan perbuatan zalim amat ditegah oleh Allah. Persoalannya bagaimana hendak berlaku adil dalam amalan hibah?.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, pada asasnya tiada sesiapa yg boleh buat keputusan atau mempengaruhi pemilik harta membuat keputusan. Apa yang cuba dijelaskan melalui tulisan ini hanyalah sekadar nasihat dan panduan.

Kepada para pemilik harta, dalam banyak keadaan, tidak semestinya semua harta2 milikan patut dihibahkan. Sebaliknya yang sesuai dihibahkan adalah harta yang sukar untuk dimiliki secara bersama seperti rumah, barang kemas dan kenderaan. Manakala harta dari jenis tanah pula iaitu seperti tanah yg bersaiz kecil atau tanah yg ada rumah atasnya atau tanah dengan tanaman tertentu mengikut kesesuaian penerima hibah.

Harta2 yg disebutkan di atas pada kebiasaannya sukar untuk dimiliki secara bersama oleh ramai orang walaupun merupakan adik beradik seibu sebapa. Maka dengan instrumen hibah yg dilaksanakan, tidak lagi timbul siapakah yang lebih layak mewarisi atau menduduki rumah tersebut kerana melalui faraid, semua orang ada hak ke atas rumah terbabit.

Begitu juga pada harta2 lainnya seperti tanah yang bersaiz kecil dan amat tidak sesuai dimiliki oleh berbilang waris sekiranya tanah itu melalui proses faraid kemudian hari. Maka sesuai tanah itu dihibahkan kepada waris tertentu agar tidak timbul tuntutan seperti tebus faraid dan seumpamanya.

Keadilan dalam melaksanakan hibah adalah suatu yg subjektif. Namun ibu bapa yang berhasrat menghibahkan hartanya kepada anak-anak, harus berlaku adil agar keharmonian anak2 terpelihara. Cuma ia perlu dilakukan dalam keadaan teratur mengikut rukun dan syarat hibah serta mematuhi perundangan negara supaya hibah tersebut dapat dilaksanakan tanpa boleh dibatalkan.

Wallahua'lam

5 Rejab 1444H
26 Januari 2023M

Tiada ulasan:

Catat Ulasan