Follower

Ahad, 15 Januari 2023

PATAH TITI

Salah Faham Mengenai Pusaka, Faraid, Wasiat dan Hibah
Siri 2

Penulis: ZulHamzah

"Patah Titi" merupakan satu Istilah yang agak popular dalam masyarakat Islam di Malaysia yang merujuk kepada seorang anak (cucu) yang kematian ayah sebelum kematian datuk atau nenek. Keadaan ini menyebabkan si anak (cucu) tersebut terhalang untuk mewarisi harta datuk atau neneknya selepas kematian mereka.

Benarkah cucu yang kematian ayah langsung tidak dapat mewarisi harta datuk @ nenek?

Salah satu syarat dalam perlaksanaan harta pusaka iaitu waris yang berhak mendapat harta pusaka masih hidup ketika si mati meninggal dunia. Syarat ini terpakai walaupun contohnya seorang bapa dan anaknya meninggal pada hari yang sama, tapi berbeza masa.

Contoh si bapa meninggal pada pukul 10 pagi, manakala anaknya meninggal lewat sedikit daripada bapa atau selang beberapa minit kemudian. Maka anak tersebut berhak mendapat harta pusaka bapanya. Oleh kerana anak itu turut meninggal, maka harta pusaka yang layak diterimanya akan dibahagikan di kalangan waris lain yang berhak mengikut peraturan faraid.

Tapi dalam kes Patah Titi, si anak meninggal terlebih dahulu dan diikuti oleh bapanya. Maka si anak tersebut dikira tidak layak menerima harta pusaka bapanya. Jika si anak itu mempunyai tanggungan atau waris-waris seperti isteri dan anak, maka warisnya itu tidak berhak menerima harta pusaka yang berasal dari datuk atau neneknya.

Namun begitu, terdapat salah faham masyarakat dalam perlaksanaan hukum faraid ini iaitu anggapan bahawa cucu-cucu tersebut selamanya terhalang untuk perolehi harta pusaka datuk atau nenek. Sedangkan kelayakan seseorang untuk perolehi harta pusaka bergantung kepada situasi. Rujuk contoh situasi seperti di bawah bagi mudah faham.

Situasi layak dapat
A (si mati) mempunyai 2 orang anak iaitu 1 lelaki (X)  dan 1 perempuan (S). X telah meninggal lebih awal sebelum A dan X mempunyai 1 isteri dan 2 orang anak iaitu Y (lelaki) dan Z (perempuan).

Dalam keadaan seperti di atas, waris yang mempunyai hubungan darah dengan A iaitu 
1. X (anak lelaki - meninggal awal)
2. S (anak perempuan - masih hidup)
3. Y dan Z (anak kpd X dan cucu kepada A)

Dalam situasi ini, Y dan Z berhak perolehi harta pusaka datuknya (A) sebagai 'asobah' walaupun bapa mereka iaitu X telah meninggal lebih awal. Ini kerana A hanya mempunyai seorang anak perempuan dan tiada waris lain yg lebih utama.

Situasi tidak layak dapat
A (si mati) mempunyai 3 orang anak iaitu 1 lelaki (X dan K) dan 1 perempuan (S). X telah meninggal lebih awal sebelum A dan X mempunyai 1 isteri dan 2 orang anak iaitu Y (lelaki) dan Z (perempuan).

Dalam keadaan seperti di atas, waris yang mempunyai hubungan darah dengan A iaitu 
1. X dan K (anak lelaki - X meninggal lebih awal)
2. S (anak perempuan - masih hidup)
3. Y dan Z (anak kpd X dan cucu kepada A)

Dalam situasi ini, automatik Y dan Z dalam keadaan mahjub (terhalang) iaitu tidak layak menerima pusaka datuknya kerana wujud waris asobah yang lebih tinggi kedudukannya iaitu K. Kedudukan Y dan Z adalah sama seperti kedudukan anak2 K yg terhalang dari menerima pusaka datuk kerana K masih hidup.

Situasi lain yg menyebabkan cucu terhalang bagi mendapatkan harta pusaka datuk atau nenek iaitu sekiranya si A (si mati) meninggalkan 2 orang anak perempuan dan X (arwah anak lelaki) hanya mempunyai anak perempuan dan tiada anak lelaki. 

Oleh yang demikian, jangan kita terus menghukum semua waris "patah titi" tidak layak perolehi harta pusaka datuk atau neneknya. Ia perlu melihat kepada situasi atau jumlah waris-waris dalam keluarga terlebih dahulu. 

Insya Allah dalam tulisan lain, akan dikongsikan kaitan waris patah titi dengan "Wasiat Wajibah" bagi menjaga hak-hak waris yang ditinggalkan.

Ayuh belajar asas ilmu Faraid, ilmu yang makin dilupakan.

23 Jamadil Akhir 1444H 
15 Jan 2023

##############

Tiada ulasan:

Catat Ulasan