Follower

Ahad, 29 Januari 2023

Soalan : "Arwah ayah meninggalkan sekeping tanah, keluasan 5 ekar. Kami ada 6 beradik (2L + 4P) dan berfikir jika nak dibahagikan mengikut faraid, berapa lah sangat hasilnya. Maka kami sepakat untuk teruskan usaha arwah ayah dan bahagikan hasil serta menanggung kos secara bersama. Bagaimana kedudukan di sudut hukum faraid?"

Salah Faham Mengenai Pusaka, Faraid, Wasiat dan Hibah.
Siri 8 - Bahagian 1

Penulis : ZulHamzah

Hamba Allah yang bertanyakan soalan di atas boleh dikatakan seorang yang mengambil berat mengenai hal ehwal pusaka sebab dia tahu dan sedar bahawa harta pusaka arwah ayahnya perlu diproses secara faraid. Cuma tidak sepatutnya ahli waris mengambil mudah atau memandang remeh akan penentuan hak setiap waris ke atas harta pusaka.

Sebarang kesilapan walaupun kecil dalam menguruskan harta pusaka hendaklah dielakkan sejauh mungkin. Begitu juga dengan sikap sambil lewa ketika membuat sebarang kiraan kerana kesilapan kecil itu boleh membawa waris termakan hak waris lain secara tidak sengaja. Walaupun tidak sengaja, ia tetap dikategorikan sebagai harta bathil dan akan diadili oleh Allah kelak.

Menurut maklumat diberikan dalam soalan iaitu waris merupakan 2 anak lelaki dan 4 anak perempuan, maka hak faraid setiap ahli waris atas tanah 5 ekar tersebut seperti berikut
AL 1 : 1.25 ekar
AL 2 : 1.25 ekar
AP 1 : 0.625 ekar
AP 2 : 0.625 ekar
AP 3 : 0.625 ekar
AP 4 : 0.625 ekar

Pada logiknya memang lah jika tanah seluas 5 ekar itu dipecahkan mengikut keluasan faraid masing-masing, ia agak sulit untuk diuruskan berbanding disatukan. Selain itu, ia juga menjimatkan kos dan tenaga serta dapat mengoptimumkan hasil. Namun, sekiranya tidak berhati-hati, sebahagian waris akan mengambil hak waris lain secara bathil walaupun tidak sengaja.

Contoh boleh dilihat dalam kiraan seperti di bawah.
Katakan pendapatan drp 5 ekar : RM10,000
Kos : RM1000 utk 5 ekar

Kiraan 1
(Pendapatan - kos) ÷ jumlah waris
(10,000 - 1000) ÷ 6
= 9000 ÷ 6
= RM1,500 seorang
Nota : pendapatan keseluruhan ditolak kos dan dibahagikan secara sama rata kpd 6 orang waris.

Kiraan 2
((Pendapatan - kos) ÷ luas tanah ) x luas faraid
((10,000 - 1000) ÷ 5) x 1.25@0.625
AL : (9000 ÷ 5) x 1.25 = RM2,250
AP : (9000 ÷ 5) x 0.625 = RM1,125
Nota : Pendapatan ditolak kos, dibahagikan dgn keluasan tanah bagi mendapatkan untung setiap ekar dan didarabkan nilai bahagian waris ikut bahagian faraid.

Kiraan 3
((Pendapatan ÷ luas tanah) x luas faraid) - (kos ÷ jumlah waris)
= ((10,000 ÷ 5) x 1.25@0.625) - (1000 ÷ 6)
AL : (2000 x 1.25) - (167) = RM2,333
AP : (2000 x 0.625) - (167) = RM1,083
Nota : Pendapatan dibahagi luas tanah untuk dapatkan untung setiap ekar dan didarabkan dengan nilai bahagian setiap waris. Kemudian ditolak kos yang dikira secara sama rata oleh setiap waris.

3 kiraan di atas menunjukkan 3 hasil yang berbeza. Hanya satu kiraan sahaja yang mematuhi agihan menurut faraid. Kiraan yang manakah pada pandangan anda?.

Oleh kerana sudah agak panjang tulisan ini, maka jawapannya akan dijelaskan dalam Bahagian 2 nanti, insya Allah.

7 Rejab 1444H
29 Januari 2023M

Tiada ulasan:

Catat Ulasan