Follower

Isnin, 9 Januari 2023

"Nak ikut Faraid atau Bahagi Sama Rata?"

Salah Faham Mengenai Pusaka, Faraid, Wasiat dan Hibah
Siri 1

Penulis : ZulHamzah

Banyak salah fahaman masyarakat mengenai fungsi faraid dalam proses perwarisan harta pusaka si mati yang beragama Islam. Salah satu nya iaitu dalam memutuskan pembahagian harta pusaka, ada yang nak ikut faraid dan ada yang nak dibahagikan sama rata tanpa kira jantina.

Jantina merupakan salah satu elemen penting dalam menentukan nilai bahagian atau hak seseorang terhadap harta yang dipusakakan. Tapi sebelum hadir nilai bahagian tersebut, kaedah faraid digunakan bagi menentukan kelayakan waris yang berhak menerima warisan.

Sebenarnya pembahagian secara sama rata juga terdapat dalam sistem faraid iaitu yg dipanggil "takharuj". Namun, sebelum sampai kepada kaedah takharuj tersebut, terlebih dahulu kelayakan waris-waris ditentukan. Jika tidak ditentukan kelayakan seseorang bagi mewarisi harta pusaka, sudah pasti semua yang berkait dengan si mati mahu menuntut hak kerana disangkakan dia berhak berdasarkan hubungkait dengan si mati. 

Setelah satu senarai waris diwujudkan berdasarkan ketetapan oleh syarak, maka bahagian masing2 juga automatik tersedia mengikut kedudukan masing2 atau hubungan dengan si mati. Maka pada ketika ini, semua waris-waris yg berhak mendapat pusaka boleh berbincang bagi mencapai kata sepakat dalam pembahagian harta yang terlibat.

Terdapat 3 bentuk takharuj sebagai jalan penyelesaian, iaitu :

1. Takharuj antara 2 orang waris. Contohnya waris kepada si mati terdiri dari sorang anak lelaki dan 2 orang anak perempuan. Mengikut pembahagian asal, anak lelaki akan mendapat 2/4 dan setiap anak perempuan akan perolehi 1/4 daripada harta pusaka. Kemudian si anak lelaki bersetuju dan redha melakukan takharuj iaitu memberikan (hibah) sebahagian hak nya kepada salah sorang saudara perempuannya atau dibahagian secara sama rata antara mereka bertiga (1/3).

2. Takharuj antara seorang waris dengan waris-waris lain dengan satu pertukaran bahagian dalam suatu harta. Contoh si mati meninggalkan beberapa jenis harta termasuk sebuah rumah. Salah seorang waris yg mendiami rumah mahu memiliki rumah itu sepenuhnya, maka takharuj boleh berlaku dengan melepaskan haknya dalam harta lain dan bahagiannya dalam harta lain itu akan dibahagikan mengikut faraid atau sama rata sesama waris-waris lain. Kaedah ini perlu dapat persetujuan semua waris terlebih dahulu.

3. Takharuj dengan jumlah bayaran atau pertukaran harta. Contoh salah seorang waris setuju untuk tidak mengambil harta pusaka, tapi diganti dengan satu bayaran oleh waris lain atau dengan kata lain, si A menjual bahagiannya kpd B. Atau si mati meninggalkan pusaka berupa tanah kebun dan rumah. Takharuj boleh berlaku apabila terdapat waris menarik diri dari memiliki tanah kebun, tapi digantikan dengan pemilikan ke atas rumah, manakala sebahagian lagi menarik diri dari memiliki rumah, tapi mendapat bahagian dalam tanah kebun.

Hukum syarak yg ditentukan oleh Allah sama sekali bukan bertujuan menyusahkan, tapi memudahkan. Cuma bila tak faham, tak belajar dan didorong dengan sifat tamak, dengki dan seumpamanya, maka yang mudah bakal jadi sulit, yang boleh diselesaikan dalam tempoh singkat boleh menjangkau puluhan tahun tergantung sehingga terbit hasil2 yang haram dimakan, dosa jariyah yg berlanjutan dan bermacam2 kemungkaran lainnya.

Wallahua'lam

17 Jamadil Akhir 1444H
9 Januari 2023

Hubungi kami untuk khidmat nasihat dan perundingan pengurusan harta anda. Kami juga menyediakan perkhidmatan menguruskan proses pusaka bagi pihak waris. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan