Follower

Ahad, 22 Januari 2023

Soalan : "Arwah ayah tanam padi, sebelum padi masak, ayah meninggal. Nak kira macam mana?"

Salah Faham Mengenai Pusaka, Faraid, Wasiat dan Hibah
Siri 4

Penulis : ZulHamzah

Sebelum jawab soalan di atas, kita lihat dulu definisi Pusaka. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, PUSAKA adalah harta benda yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal dunia (untuk diwarisi oleh keluarganya).

Menurut istilah syara’ pula, harta warisan atau 'mirath' adalah harta peninggalan orang yang telah meninggal dunia yang telah menjadi hak mutlak ahli warisnya untuk diagih-agihkan di kalangan mereka yang berhak.

Soalan yang diajukan iaitu mengenai hasil padi yang ditanam oleh si mati sebelum meninggal, apakah termasuk pusaka atau tidak. Jawapannya ya, hasil tersebut termasuk dalam kategori pusaka kerana salah satu kategori pusaka iaitu segala hasil yang terbit dari hasil usahanya semasa hayat.

Juga termasuk dalam kategori harta pusaka iaitu pokok yang ditanam oleh si mati semasa hayatnya seperti pokok getah, pokok kelapa sawit dan lain-lain. Maka segala hasil yang terbit daripada pokok-pokok berkenaan merupakan pusaka yang hendaklah diuruskan melalui kaedah faraid.

Hasil-hasil itu juga termasuk bayaran sewa yang diperolehi atas harta si mati seperti rumah sewa, kedai dan seumpamanya. Selagi harta-harta tersebut tidak diselesaikan mengikut tatacara faraid, tiada sesiapa di kalangan waris berhak mengambil hasil tersebut untuk manfaat dirinya sendiri dan menafikan hak waris-waris lain.

Bagi tanaman kontan seperti padi, pisang dan seumpamanya, yang menjadi pusaka hanya terhad kepada pokok yang ditanam oleh si mati masa hayat sahaja. Apabila pokok itu dibuang untuk penanaman semula, pokok dan hasil yang ditanam semula tu bukan pusaka walaupun ditanam atas tanah pusaka. Yang menjadi pusaka yg wajib diselesaikan faraid adalah tanahnya, bukan pokoknya.

Perkara ini harus diberi perhatian kerana masih banyak kekeliruan dalam masyarakat yang beranggapan hanya tanah sahaja menjadi pusaka, hasil tanaman yang ditanam oleh si mati tidak dikira pusaka.

Wallahua'lam

29 Jamadil Akhir 1444H
22 Januari 2023M

Tiada ulasan:

Catat Ulasan